DASAR PERLINDUNGAN KANAK-KANAK NEGARA (DPKKN)
DPKKN merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.
DPKKN adalah bertujuan untuk
memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.
Terdapat 7 objektif DPKKN iaitu:
1. Meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;
2. Mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
3. Menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;
4. Melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;
5. Menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;
6. Meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan
7. Meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.
AKTA PERLINDUNGAN KANAK-KANAK 2001
Akta ini dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2001.
Akta ini merupakan suatu akta yang meminda, menyatukan dan memasukan peruntukan-peruntukan baru (gabungan) daripada 3 akta utama iaitu
:
- Akta Mahkamah Juvana 1947
- Akta Wanita dan Gadis 1973
- Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991
Terdapat 3 tujuan utama penggubalan akta ini iaitu:
1. untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak
2. untuk menangani masalah remaja yang terlibat dengan jenayah
3. untuk menangani masalah remaja yang terlibat dengan maksiat tidak terkawal.
KESALAHAN DAN HUKUMAN
1. Ibubapa atau penjaga yang menganiayai, mengabai, membuang, mendedahkan kanak-kanak yang mungkin menyebabkan kanak-kanak cedera fizikal dan emosi serta menganiayai dari segi seks jika disabitkan
akan dikenakan hukuman:
> penjara 10 tahun atau denda tidak lebih RM20 000 atau kedua-duanya
> atau bon berkelakuan baik, pelanggaran bon akan dikenakan penjara 5 tahun atau denda tidak lebih RM 10 000 atau kedua-duanya.
2. Ibubapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan kanak-kanak dalam pemeliharaanya mengemis, menerima sedekah, memudaratkan kesihatan dan kebajikan jika disabitkan akan dikenakan hukuman:
> denda tidak lebih RM 5 000 atau
> penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.
3. Ibubapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan jika disabitkan akan dikenakan hukuman:
> denda tidak lebih RM 5000
> atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya